NUFFNANG

SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Salam Ukhuwah .....

Khamis, 31 Oktober 2013

Pantun

PANTUN PEMBUKA ACARA
Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.
Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi;
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.
Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.
Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.
Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.
Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.
Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.
PANTUN BACAAN DOA
Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.
Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.
Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi;
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.
Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.
Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.
PANTUN JEMPUT MAKAN
Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.
Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.
Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.
Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.
PANTUN UCAPAN ALU-ALUAN
Bukan rumput sebarang rumpun,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.
Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.
Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.
Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.
PANTUN JEMPUTAN UCAPAN
Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang selisih;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan pengikat kasih.
Besar langit di tepi busut,
Besar tak muat di dalam peti;
Besar hajat kami menjemput,
Besar niat di dalam hati.
Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Pada mu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.
Terbang di awan burung jentayu,
Kerana penat gugur ke bumi;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama amanat bekalan kami.
Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.
PANTUN UCAPAN PERASMIAN
Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang jerami;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan kata perasmi.
Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi;
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.
Jangan tertawan alpa duniawi,
Hanya indah serupa mimpi;
Duhai pahlawan ksatria pertiwi,
Hulurkan madah kata perasmi.
Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.
PANTUN AKHIR MAJLIS
Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.
Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.
Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.
Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Lain masa bersua lagi.
Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.
Dari Rokan ke Indragiri,
Membawa tinta ke Kuala Linggi;
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.
Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.
PANTUN BUAT WARGA EMAS
Bulan purnama ke pekan Kuah,
Di tengah hari membeli ragi;
Dirimu umpama nyiur bertuah,
Padat sari harum mewangi.
Curah serbat di atas lantai,
Basah tikar lupa disidai;
Dikau ibarat karang di pantai,
Tak pernah gentar dipukul badai.
Pohon sena tepi perigi,
Tepi paya si pohon jambu;
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.
Anak dara ke Tanjung Batu,
Janji bertemu di Teluk Bayu;
Walau usia dimamah waktu,
Cekal hatimu tak pernah layu.
Bukan gua sebarang gua,
Gua penuh pusaka bonda;
Bukan tua sebarang tua,
Tua penuh ilmu di dada.
Pergi ke Nilai membeli jamu,
Jamu rasa dari tenggara;
Tidak ternilai jasa baktimu,
Kepada bangsa juga negara.
Tidak goyah pancang seribu,
Tika masih badai menderu;
Engkau ayah engkaulah ibu,
Menumpang kasih mengubat rindu.
Pohon beringin tepi keramat,
Dengar siulan diufuk barat;
Kalau ingin hidup selamat,
Buat bekalan untuk akhirat.
Beli keladi di Pekan Lidup,
Sayang rasa lemaknya kurang;
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.
Pintal kapas menjadi benang,
Tenun benang menjadi sari;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang meracun diri.
Pohon senduduk baru di tanam,
Sayang mati di pijak pak tani;
Dari duduk baik bersenam,
Senang hati sihat jasmani.
Apa guna siparang panjang,
Kalau tidak dengan tujuan;
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.
Timba suasa ditepi kali,
Buat menyimbah si tuan puteri;
Berputus asa jangan sekali,
Jadikan tabah pakaian diri.
Betik muda buat halwa,
Kelapa muda santan dirasa;
Biar muda di dalam jiwa,
Dari tua sebelum masa.
Pantun dari Blog Panitia BM SMKCJ, Terima Kasih

Ahad, 27 Oktober 2013

KENANGAN DARI MINA KE MEKAH

Teringat kenangan indah lagi manis ketika menunaikan haji tahun 2009 ... 
Kenangan saya dan suami berjalan kaki dari Mina ke Mekah sejauh  lebih 7 km . Kami berjalan kaki ke Mekah.... semata-mata ingin menunaikan Tawaf Ifadhah/Tawaf Rukun serta menunaikan ibadah Sai'e . Tentu ada yang tertanya-tanya...kenapa terlalu cepat untuk melakukan Tawaf? Sedangkan Tabung Haji akan membawa pulang semua jemaah haji  ke Mekah apabila selesai Mabit di Mina pada 13 zulhijjah.

Jawapan bagi persoalan di atas... ...
saya dan suami adalah di antara Jemaah haji yang datang awal ke Madinah dan Mekah, kami dari  kumpulan KT6  dan melakukan Haji Tamattuk. Apabila datang awal ke Mekah .....maka kami jugalah kumpulan yang akan balik awal ke tanah air. Oleh kerana pusingan haid saya akan tiba... maka saya dinasihatkan oleh pihak Tabung Haji agar menyegerakan ibadah Tawaf Rukun . Tujuannya .....untuk  mengelakkan perjalanan pulang tertangguh kerana tidak selesai rukun haji.

Apabila selesai melontar Jamrah Kubra pada  10 Zulhijjah .... saya dan suami bergerak menuju Al-Haram   ( Masjidil Haram )  . Kami bergerak sendirian kerana tiada pegawai Tabung Haji yang akan ke Mekah. Perjalanan kami mengambil masa 1 jam 15 minit          ( jarak dari Jamarat ke Masjidil Haram ) . Ketika itu ... ribuan  jemaah haji berjalan  menuju ke Mekah . Dan sepanjang perjalanan tiada kelihatan jemaah Haji Malaysia melainkan kami berdua.... ( Jemaah haji Malaysia dapat dikenal melalui telekung , beg sandang dan tanda pengenalan diri).

Ikut sahaja tunjuk arah yang dipasang  sepanjang  perjalanan

Kegigihan jemaah haji ini membangkitkan motivasi diri sendiri

Berehat sebentar....sebelum meneruskan  perjalanan
Saya dari awal dapat menjangka perkara ini akan berlaku ...... 
Oleh itu kami sudah buat persediaan..... sebelum berangkat ke Tanah Suci, saya dan suami mendapatkan pelan perjalanan ( dari Jamarat ke Masjidil Haram ) melalui abang saya sendiri. Pak Imam nie  ( panggilan buat abang saya ) cukup  arif tentang  laluan   di Tanah Suci . Pelan itu di bawa bersama ketika Mabit di Mina.

Sampai di perkarangan Masjidil Haram.... masya Allah...terkejut dengan 
 ratusan tentera dan pegawai keselamatan yang bertugas demi keselamatan dan kelancaran pergerakan ribuan jemaah haji.  Memasuki masjid melalui pintu King Abdul Aziz, selesai solat tahiyatul masjid... doa masih berterusan agar dipermudahkan urusan tawaf. Inilah ibadah Tawaf yang cukup mencabar, sangat sesak, ditolak dan terhimpit dengan ribuan jemaah dan mengambil masa lebih dari 1 jam untuk 7 pusingan. Mengeletar kaki apabila selesai tawaf dan solat sunat tawaf . Tambahan pula tapak kaki melecet akibat perjalanan jauh dengan memakai kasut selipar ( selipar putih yang keras ) yang di beli di Mina kerana kasut saya rosak. Itulah pengorbanan, juga ujian, kenikmatan dan keindahan beribadah di sana.
Ya Allah ...syukur Alhamdulillah kerana telah selesai ibadah tawaf. 

Kami  berehat seketika sebelum meneruskan ibadah sai'e  . Doa tetap diteruskan agar mudah urusan Sai'e. Ibadah Sai'e mengambil masa 1 jam lebih kerana ribuan jemaah pada 10 Zulhijjah. Subhanallah...

Setelah selesai ibadah Sai'e, kami kembali ke hotel untuk merehatkan diri . Suasana sunyi sepi ketika kami sampai di hotel . Dan  kami terjumpa dua lagi pasangan yang turut melakukan Tawaf Rukun dan ibadah Sai'e. Selepas waktu asar.... kami bergerak keluar dengan  menaiki bas menuju ke Jamarat( Tempat melontar ) untuk Mabit di Mina . Nak berjalan lagi... dah tak mampu .... 

Kami bertanya beberapa orang arab... bas untuk ke Jamarat. Akhirnya bas menurunkan kami bersama jemaah lain di suatu lokasi yang kami pun tak tahu di mana. Tawakkal sahaja kepada Allah SWT... agar khemah kami ditemui.  Kelihatan ribuan khemah...tetapi tak tahu mana satu khemah kami... terus sahaja berjalan mengikut gerak hati .  lebih 1 jam  kami berjalan barulah kami dapat merehatkan diri  ..... Alhamdulillah 

waktu malam di Mina .....alhamdulillah kami terserempak  jemaah Malaysia 
Tawakkal dan yakin dengan Allah, sentiasa memohon kepada-Nya dan  sentiasa melakukan solat hajat untuk semua perkara yang akan kita lakukan  dalam ibadah haji dan umrah. 
In shaa Allah .... Allah permudahkan semua urusan.

MELONTAR DI TIGA JAMRAH

Melontar anak batu di tiga Jamrah iaitu Jamrah Sugra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra. Masa untuk melontar pada 11 dan 12 Zulhijjah sahaja bagi yang melakukan Nafar Awwal atau pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi yang melakukan Nafar Thani.

Masa yang afdal untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah bermula apabila gelincir matahari ( masuk waktu zohor ) hingga terbenam matahari ( masuk waktu Maghrib ) pada hari tersebut.

Syarat Melontar di ketiga-tiga Jamrah

  1. Melontar 7 biji anak batu pada tiap-tiap Jamrah
  2. Melontar dengan tertib iaitu dimulai dengan Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.
  3. Tertib hari iaitu tidak boleh melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari yang ke 11 Zulhijjah melainkan telah melontar di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.Demikian juga tidak boleh melontar di ketiga-tiga Jamrah pada 12 Zulhijjah melainkan telah melontar  di tiga Jamrah pada 11 Zulhijjah, Begitulah seterusnya.
  4. Melontar dengan anak batu atau jenisnya.
  5. Yakin batu yang dilontar jatuh ke dalam takungan .
  6. Melakukan lontaran  dengan gaya melontar.
  7. Melontar dengan tangan.
  8. Melontar untuk dirinya sendiri sebelum melontar mewakili orang lain.
Amalan Sunat Melontar Di ketiga-tiga Jamrah
  • Bertakbir setiap kali melontar
  • Melontar dengan tangan kanan. Bagi lelaki disunatkan mengangkat tangan dengan tinggi. Jemaah wanita tidak disunatkan berbuat demikian.
  • Anak batu yang dilontars sebesar  kacang kuda.
  • Melontar dalam keadaan menghadap kiblat.
  • Melontar secara muwalat ( berturutan ).
  • Melontar dengan batu yang tidak bernajis.
Setiap jemaah akan berulang alik dari khemah di Mina ke tempat melontar untuk melontar Jamrah selama 4 hari. Pada 10 Zulhijjah ... jemaah akan melontar hanya di Jamrah Kubra sahaja. Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah ... jemaah akan melontar di tiga-tiga Jamrah. 

Di mana nak cari anak batu semasa di Mina!! Orang yang ramai, tempat yang dipenuhi  khemah dan jalan raya yang bertar... mana nak cari anak batu. Sukar juga ye... sebab semua jemaah mencari anak batu... ada jemaah yang pergi di kawasan berbukit untuk mencari batu. Tapi ia terlalu jauh. Lebih senang sekiranya jemaah mengutip lebih anak batu semasa di Muzdalifah... mudah baginya untuk melontar . 

Jumlah semua anak batu yang digunakan untuk melontar bagi 4 hari adalah sebanyak 70 biji anak batu. Pilih anak batu yang kecil sahaja ( sebesar kacang kuda ) agar mudah untuk dibawa. Ketika hendak melontar anak batu ke dalam takungan... pastikan diri kita berada dekat dengan takungan supaya kita yakin anak batu yang dilontar  masuk ke dalam takungan Jamrah.

Tempat melontar Jamrah

Gambar diambil semasa ziarah luar 

Balik dari  melontar pada 11 Zulhijjah 
Pandangan dari aras bawah
Kumpulan Jemaah haji dari Indonesia

Sabtu, 26 Oktober 2013

Kesan Mengambil Gula Tambahan Berlebihan...

Apakah itu gula?
·         Gula  adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber  tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.

·         Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.

·         Selain terdapat dalam bentuk semulajadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.

·          Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh    diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.

·          Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa (sucrose), fruktosa (fructose), sorbitol, manitol (mannitol), sirap jagung (corn syrup), madu (honey), malt, ekstrak malt (malt extract), maltosa (maltose), ekstrak beras (rice extract), molas (molasses) , golden syrup dan inverted sugar .

Apakah kesan jika mengambil gula tambahan secara berlebihan?

1.                 Melemahkan sistem imunisasi (melawan penyakit).
2.                 Mengganggu imbangan galian dalam badan.
3.                 Kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal.
4.                 Kanak-kanak rasa mengantuk dan kurang cerdas.
5.                 Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran.
6.                 Meningkatkan paras trigliserid.
7.                 Melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan bakteria.
8.                 Merosakkan buah pinggang.
9.                 Mengurangkan kolesterol yang baik (HDLs)
10.             Menggalakkan pertumbuhan kolesterol bahaya (LDLs).
11.             Mengurangkan kromium dalam badan.
12.             Mengurangkan kuprum dalam badan.
13.             Mengganggu serapan kalsium dan magnesium oleh sistem badan.
14.             Menyebabkan kanser payudara, ovari, prostat dan dubur.
15.             Menyebabkan kanser kolon (usus besar), wanita amat berisiko tinggi.
16.             Faktor kepada kanser pundi hempedu.
17.             Meningkatkan paras glukosa dalam darah dengan cepat.
18.             Melemahkan penglihatan.
19.             Meningkatkan paras serotonin yang menyempitkan pembuluh darah.
20.             Hipoglisemia.
21.             Perut berasid.
22.             Meningkatkan paras adrenalin di kalangan kanak-kanak.
23.             Meningkatkan risiko penyakit jantung koronari.
24.             Mempercepatkan proses penuaan, kulit berkedut dan uban pada rambut.
25.             Membawa kepada ketagihan alkohol.
26.             Merosakkan gigi.
27.             Punca utama obesiti.
28.             Meningkatkan risiko penyakit crohn dan kolitis berulser.
29.             Bengkak saluran usus di kalangan pesakit gastrik.
30.             Artritis.
31.             Lelah.
32.             Pembentukan batu dalam ginjal.
33.            Jangkitan yis atau kandidiasis.
34.            Pembentukan batu karang dalam hempedu.
35.           Sakit jantung iskemik.
36.           Apendiks.
37.           Meransang tanda-tanda multiple sclerosis.
38.           Pendarahan.
39.          Penyebab vena varikos.
40.          Meningkatkan tindak balas glukosa insulin kepada pengamal pil pencegahan kehamilan.
41.          Sakit gusi.
42.           Osteoporosis.
43.            Air liur berasid.
44.            Kemerosotan toleransi glukosa.
45.            Kemerosotan sensitiviti insulin.
46.            Mengurangkan hormon tumbesaran.
47.            Meningkatkan tekanan darah sistolik.
48.            Mengubah struktur protein sehingga menganggu serapan protein oleh tubuh.
49.            Alergi terhadap makanan.
50.             Kencing manis.
51.             Keracunan darah ketika hamil.
52.             Ekzema kepada kanak-kanak.
53.             Penyakit kardiovaskular.
54.             Melemahkan struktur DNA.
55.             Katarak.
56.             Emfisema.
57.             Arteriosclerosis.
58.             Pembentukan radikal bebas dalam aliran darah.
59.             Merendahkan kemampuan enzim.
60.             Kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya.
61.             Penyebab sel hati terbahagi menyebabkan peningkatan saiz hati.
62.             Peningkatan lemak dalam hati.
63.             Pembesaran saiz buah pinggang.
64.             Tekanan tinggi kepada pankreas dan merosakkannya.
65.             Peningkatan retensi cecair dalam badan.
66.             Sembelit.
67.             Rabun jauh.
68.             Punca kepada lapisan rerambut.
69.             Hipertensi.
70.             Sakit kepala.
71.             Menganggu kemampuan berfikir.
72.             Kemurungan.
73.             Meningkatkan tindak balas insulin.
74.             Punca penapaian bakteria dalam usus.
75.             Ketidakseimbangan hormon.
76.             Meningkatkan risiko darah beku dalam darah.
77.             Meningkat risiko penyakit alzheimer.

Copy and paste je . ... Terima kasih kepada yang empunya.
Moga memberi manfaat buat semua.

Majlis pertunangan cikgu Suhaimi Samad

26 Oktober 2013 telah berlangsung majlis pertunangan anak buahku.... cikgu Suhaimi Samad dengan Siti Nor Khadijah Bt Jinal Abidin . Pihak lelaki memberi 11 dulang barang iringan termasuk 2 bentuk cincin. Satu cincin tanya ( merisik ) dan satu cincin sbg tanda pertunangan .
        Pihak perempuan membalas 18 dulang hantaran kepada pihak lelaki. Pemberian sebagai hadiah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Di doakan agar jodoh kekal bersama hingga ke syurga.
        Lalui zaman pertunangan dengan rasa syukur dan jauhi dari maksiat dan kemungkaran. Hendaklah bersama menjaga batas pergaulan agar terhindar dari dosa. Moga kedua-duanya dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Rabu, 23 Oktober 2013

Ceramah Sempena Sambutan Aidil Adha Dan Qurban

Selepas bengkel Pengurusan Jenazah pada 17 Oktober.... 
ceramah sempena Sambutan Aidil Adha Dan Qurban diteruskan. Penceramah yang saya jemput telah bersetuju untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan. Pada petang rabu .... ustaz Taftazani  memaklumkan kepada saya bahawa beliau tidak dapat hadir kerana mertuanya  meninggal dunia dan beliau akan balik ke Kelantan . Semoga roh mertuanya ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman.

Siapakah pengganti penceramah ini.... !!! 
ya Allah permudahkan urusanku... 
Hari khamis.. perlu uruskan Bengkel Pengurusan Jenazah...alhamdulillah rakan2 guru banyak membantu. Ingatkan petang  khamis boleh rehat...tapi saya dapat surat untuk hadir program I-TRIM jam 2.30 pm hari khamis bersamaan 17 Oktober. Ya Allah.... mudahkan urusanku... terasa penat sangat ....  sedangkan penceramah belum dapat pengganti lagi.

Ustaz2 yang boleh memberi ceramah memang banyak... tapi untuk menjemput mereka perlu prosedur. Keluarkan surat kepada PPD kemudian  PPD akan menghantar surat kepada penceramah. Pengetua pula yang akan memberi pelepasan di peringkat sekolah.

Di waktu kritikal nie... 
saya perlu mencari penceramah yang tidak perlu kepada prosedur tuu. Alhamdulillah syukur ya Rabb..... akhirnya ustaz Razali Saari ( Pengerusi Darus Syifa di Sungai Besar ) sudi menerima jemputan dari SMK Sg Besar. Semoga usaha dakwah kami ini dinilai sebagai satu ibadah di sisiMu ya Allah.
 Dan kami amat mengharapkan agar anak2 didik kami ini akan menjadi hambaMu yang berakhlak mulia, beriman dan bertaqwa serta sentiasa mengingati dan mentaati perintahMu ya Allah.

Ini antara gambar sepanjang program ceramah...jom kita layann


Selasa, 22 Oktober 2013

Program i-TR1M

Taklimat akhir program i-TR1M telah diadakan di Dewan Bestari SMK Sungai Besar  pada 17 Oktober 2013. Ratusan pelajar dan guru dijemput hadir hingga menyebabkan dewan penuh sesak. 

Bila saya diminta hadir ke program ini... dapatlah saya mengetahui lebih lanjut berkenaannya. Program petang itu diserikan lagi dengan ceramah motivasi kepada murid2 calon SPM tahun ini.

Apa itu i-TR1M :

interaktif - Tuisyen Rakyat 1 Malaysia

Objektif program i-TR1M ialah :
  • Program i-TR1M adalah bertujuan untuk memberi kelas bimbingan tambahan atau tuisyen kepada pelajar-pelajar UPSR, PMR dan SPM dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi membolehkan pelajar-pelajar berkenaan meningkatkan penguasaan pengetahuan dan kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti di samping membudayakan dan memperkasakan penggunaan ICT dalam pembelajaran serta kehidupan seharian di kalangan pelajar terlibat.
  • Program i-TR1M juga boleh menambahkan contact hour pelajar dengan guru.
  • Menambahkan keyakinan dan motivasi pelajar untuk memperbaiki kelemahan mereka dan menguasai pengetahuan dan kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti khususnya untuk menghadapi peperiksaan.
  • Jurang pencapaian di antara pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan berada akan dapat dikurangkan.
  • Secara tidak langsung program i-TR1M juga dapat membantu pihak sekolah dalam memberikan bimbingan tambahan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan yang lemah dan usaha ini tentunya akan dapat meningkatkan lagi prestasi pencapaian akademik sekolah.
Gambar semasa program taklimat akhir i-TR1M....



Meja pendaftaran
Pegawai PPD
semak nama
Wajah-wajah ceria
suka2
ceria
Tetap ceria
Pelajar SMK Sg Besar
Sebok bergambar..

Isnin, 21 Oktober 2013

KEAJAIBAN MATEMATIK

KEAJAIBAN MATEMATIK
(ilmu Allah)

" PERTAMA :
1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321

" KEDUA :
1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 + 10 = 1111111111

" KETIGA :
9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888
Hebatkan?

Cuba lihat simetri ini :
" KEEMPAT :
1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111 = 12345678987654321

Kurang hebat ?
Sekarang lihat ini :
Jika 101% dilihat dari sudut pandangan Matematik, apakah ia
sama dengan 100%, atau ia LEBIH dari 100% ?

Kita selalu mendengar orang berkata dia boleh memberi lebih
dari 100%, atau kita selalu dalam situasi dimana seseorang ingin
kita memberi 100% sepenuhnya.

Bagaimana bila ingin mencapai 101% ?
Apakah nilai 100% dalam hidup?
Mungkin sedikit formula matematik dibawah ini dapat
membantu memberi jawapannya.

Jika
ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTUVWXYZ Disamakan sebagai 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26

Maka, kata KERJA KERAS bernilai :
11 + 5 + 18 + 10 + 1 + 11 + 5 + 18 + 19 + 1 = 99%
H-A-R-D-W-O-R-K
8 + 1 + 18 + 4 + 23 + !5 + 18 + 11 = 99%
K-N-O-W-L-E-D-G-E
11 + 14 + 15 + 23 + 12 + 5 + 4 + 7 + 5 = 96%
A-T-T-I-T-U-D-E
1 + 20 + 20 + 9 + 20 + 21 + 4 + 5 = 100%

Sikap diri atau ATTITUDE adalah perkara utama untuk mencapai
100% dalam hidup kita.

Jika kita kerja keras sekalipun tapi tidak ada ATTITUDE yang
positif didalam diri, kita masih belum mencapai 100%.

Tapi, LOVE OF GOD
12 + 15 + 22 + 5 + 15 + 6 + 7 + 15 + 4 = 101%
atau, SAYANG ALLAH
19 + 1 + 25 + 1 + 14 + 7 + 1 + 12 + 12 + 1 + 8 = 101%
( ertinya, Cinta & Kasih Sayang ALLAH melampaui Segalanya...)

Saya copy and paste dari rakan.... Mudahan bermanfaat

Ahad, 20 Oktober 2013

NASI ARAB MADHGHUT

Hari ini saya berkesempatan untuk berkongsi resepi Nasi Arab Madhghut. Saya dapatkan resepi ini ketika saya dan suami menunaikan umrah pada bulan Mei yang lepas melalui seorang mutawif.


Masa tu pihak travel telah mendapatkan mutawif tambahan dari penuntut Malaysia yang belajar di Universiti Madinah... untuk program ziarah luar. Seorang yang sangat arif mengenai bumi Madinah dan sirahnya.



Melalui mutawif ini... kami meminta dia agar mendapatkan rempah nasi arab. Maklum la.... kami sangat suka dengan nasi arab . Ada pelbagai jenis nasi arab... nasi mandi, nasi arab maklubah dan nama lain. Bila dah dapat....diajarkan pula cara memasaknya.
Sejak itu... saya selalu masak nasi arab untuk keluarga dan saudara mara yang datang bertandang ke rumah.  Menu yang disukai keluarga dan saudara mara ....
Menu yang sedap, cepat dan mudah sahaja.....

Bahan2 untuk Nasi Arab Madhghut  :

4 cawan beras Basmathi
4 1/2 pot air
1 ekor ayam - dipotong 12
4 susu rempah Nasi Madhghut
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 " halia dihiris
2 biji buah tomato dipotong dadu
3 sudu minyak jagung
sedikit kunyit biar nasi kekuningan
garam secukup rasa

Cara memasak :

  1. Beras dicuci dan direndam selama 30 minit .... kemudian toskan. 
  2. Ayam yang telah dibersihkan diperap dengan kunyit dan 2 sudu rempah Nasi Arab Madhghut selama 20 minit je .
  3. Gunakan periuk tekanan untuk memasak nasi arab nie.
  4. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga kekuningan.
  5.  Masukkan buah tomato yang dipotong dadu ... kacau hingga layu.
  6. Masukkan rempah nasi arab dan tumis  seketika.
  7. Masukkan ayam yang diperap tadi dan tumiskan seketika.
  8. Masukkan garam .
  9. Tuangkan air dan masukkan beras. Tutup periuk dan masak selama 10-15  minit je dengan api yang sederhana. Boleh juga guna rice cooker yang biasa.
Apabila periuk telah berbunyi... tutupkan api tau
Anda akan rasai nasi arab dengan ayam yang cukup enak.

Cadangan untuk sos  :

5 biji cili merah
2 biji tomato
sedikit garam
sedikit gula
air perahan limau nipis

Blend semua bahan tersebut... dah siap.

cadangan untuk side dish :

makan nasi dengan sos  dan salad
makan dengan sup daging
sediakan acar mentah

~Selamat Mencuba ~

Bahan yang ditumis
Ayam yang diperap dengan rempah nasi arab
Setelah dimasukkan ayam dan air
Masak menggunakan periuk tekanan ( pressure cooker )
Nasi Arab Madhghut.... enak sekali

Sabtu, 19 Oktober 2013

TEMPE GORENG RANGUP

Banyak yang kita boleh buat dengan tampe nie. Makanan yang cukup bagus urk kesihatan dan boleh mencantikkan kulit. Hari ni saya nak kongsikan resepi mudah, cepat dan senang untuk mengoreng tampe yang rangup.

Bahannya:

6 keping tampe dipotong serong
120gm Tepung Tempura Bestari
Setengah sudu kecil jintan manis yang telah ditumbuk
150ml air

Caranya ;

Campurkan semua bahan dan kacau. Jangan terlalu cair.... nanti tepung tak melekat pada tampe. Gaulkan potongan tampe dengan bancuhan tepung dan goreng hingga kekuningan.
Angkat gorengan tadi dan toskan . Kemudian letak diatas kertas tisu untuk menyingkirkan minyak yang berlebihan.

Bila dah siap boleh makan begitu sahaja atau  makan dengan nasi.

Tampe goreng yang sedap
Dapat rezeki pagi tadi...Alhamdulillah
Tepung Tempura Bestari

PTPTN RM1500.00

Anakku Siti Nur Aisyah telah  mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UPSI untuk kos Bahasa Arab. .Along ( panggilan utk Aisyah ) menerima wang pendahuluan pembiayaan (WPP) dari PTPTN sebanyak RM1500.00. Syukur Alhamdulillah kerana along dapat wpp sedangkan ramai rakan2nye tak dapat wpp meskipun mrk mendapat tawaran ke IPTA.
        

Saya tidak membaca isi kandungan surat yang diberikan oleh pihak PTPTN. Hanya mengharapkan along membaca dan memahaminya. Umi..... cek ni nk buat mcmne? Tanya along. Ooo ... kita boleh bank in je. Setelah  dua minggu lebih... di bank in cek tadi..  .along memaklumkn bhw tiada duit yg masuk dlm akaunnya.
Masa tu baru mengelabah...

Cek semula resit dn pergi ke bank utk bertanya.... ha ha ha...Cek ni tak perlu di bank in. Terus ambil tunai...pegawai bank itu memberi penjelasan . Tak apa encik... sebab , ramai yang telah bank-in cek ptptn. Ooo rupa2nya ramai juga yang salah faham dan tak baca surat yang dilampirkan. Hemm...Buat pengajaran utk masa akan datang.

IBADAH QURBAN

Qurban ialah menyembelih binatang ternakan ( al-an'am ) yang dilakukan pada hari Aidil Adha ( 10 zulhijjah ) atau hari2 Tasyrik ( 11,12 dan 13 Zulhijjah ) dengan tujuan beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah SWT. 

Waktu menyembelih qurban ialah selepas naik matahari pada hari raya qurban kira-kira selepas kadar cukup masa untuk sembahyang dua rakaat dan dua khutbah yang ringkas. Masa yang afdal melakukan ibadah qurban ialah pada hari raya Aidil Adha sebelum gelincir matahari.Dan waktu qurban berakhir apabila terbenam matahari pada hari ke 13 zulhijjah.

Ulama  as-Syafie mengatakan bahawa qurban yang dilakukan sebelum sembahyang hari raya adalah tidak sah.

Hukum melakukan ibadah Qurban adalah sunat muakkad bagi orang Islam yang mampu dan wajib bagi yang bernazar.

Maksud Firman Allah SWT dalam surah al-Kausar : Ayat 2
" Maka  kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban ( sebagai tanda bersyukur )".

Perkara sunat Qurban :

  • Membaca Bismillah atau bertakbir
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
  • Menghadapkan binatang ke arah kiblat
  • Menyembelih binatang yang gemuk
  • Menyembelih sendiri bagi lelaki atau sekurang-kurangnya melihat pada waktu penyembelihan dilakukan.
Syarat sah Qurban :


  • Binatang yang sudah cukup umur
  • Hendaklah disembelih dalam waktu qurban
  • Binatang yang sihat dan tidak cacat
  • Disembelih oleh orang Islam
  • Binatang ternakan yang halal dimakan
  • Diniatkan qurban ketika menyembelih

Binatang yang disyariatkan untuk qurban :

  • Kambing biri-biri atau kibas yang berusia 1 tahun atau lebih atau telah berganti gigi
  • Kambing biasa yang berusia 2 tahun atau lebih
  • Lembu atau kerbau atau sapi yang berusia 2 tahun atau lebih
  • Unta yang berusia 5 tahun atau lebih
Setiap tahun.... di kampungku akan diadakan ibadah qurban. Ia diadakan sama ada di masjid, surau dan rumah persendirian. Hampir setiap tahun ... sembelihan qurban turut diadakan di rumah abangku yang juga merupakan imam di kampung. Tahun 2013 nie ....kami juga ikut serta untuk berqurban. 

Penduduk kampung bergotong royong menyembelih 7 ekor lembu, melapah, memasak , mengagihkan daging untuk semua ahli qariah .Amalan ini dapat memupuk semangat kejiranan serta mengukuhkan silaturrahim sesama ahli qariah. Agihan daging qurban.... memberi kegembiraan kepada semua.

Ibadah qurban ini .... mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Mudahan kita juga sanggup berkorban untuk meningkatkan syiar Islam. Dan sanggup berkorban masa, harta dan tenaga demi untuk mendapat Rahmat dan keredhaan Allah SWT.

Lembu yang telah disembelih
Gotong royong ahli qariah Tali Air 8, Sungai Leman
Tulang untuk masak sup...
Basuh daging dan masuk sup 4 periuk besar
Daging yang siap dipotong.... mula membungkus
Timbang daging agar dapat sama rata...
Menyemak senarai ahli qariah
Daging yang telah siap dibungkus...sebelum diagihkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...