NUFFNANG

SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Salam Ukhuwah .....

Rabu, 31 Disember 2014

Madu Kelulut

Jalan - jalan ke Taman Seribu Bunga Melaka pada 24 Disember 2014  .... di situ ada taman madu kelulut.
Madu sesuatu yang istimewa  ..... maksud firmah Allah seperti dalm surah an-Nahl : 69
 "(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."
Rumah madu kelulut
Madu kelulut mempunyai rasa manis bercampur masam dan dikatakan ia lebih mahal dari madu lebah.
Ia dikatakan mempunyai banyak khasiat dan boleh mengubati pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis,  strok, barah, batu karang dan lain2.  Untuk maklumat lanjut lihat kajian MARDI tentang madu kelulut ini.
Madu kelulut pada batang kayu
Maksud Firman Allah SWT ... surah an-Nahl :68
"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia."
Boleh datang ke Taman Seribu Bunga di Melaka untuk melihat madu kelulut ini.

Indahnya Pelangi

Subhanallah .... itulah ayat yang akan dilafaz apabila melihat sesuatu yang indah,  cantik dan menajubkan. 
Inilah hadiah yang Allah SWT berikan pada petang 31 Disember 2014 ... hari terakhir bagi tahun ini. 
Kita biasa melihat pelangi ...  tapi pelangi kali nie lebih istimewa sebab ada 2 pelangi.
Perhatikan gambar2 ini .... ada 2 pelangi
Sungguh indah ciptaan Allah
" Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia." ....maksud firman Allah SWT Surah al-Baqarah : 117
Alhamdulillah. . Terima kasih ya Allah kerana memberi kesempatan melihat keindahan ciptaan Mu
Sesuatu yang indah .... ia tidak kekal lama.
Ia akan hilang bila tiba waktunya.

Isnin, 29 Disember 2014

Rukhsah Banjir

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 3 Rabiulawal 1436H. RUKHSAH BANJIR ! (KHAS UNTUK MANGSA-MANGSA BANJIR)

Rukhsah ialah kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT dalam perlaksanaan ibadat solat dalam keadaan tertentu khusisnya ketika musafir. Secara asasnya, syarak memerintahkan supaya didirikan setiap solat pada waktunya (lihat Al-Nisa: 103), kecuali jika wujud uzur syar'ie yang mengharuskan jamak.

PENCERAHAN
Antara uzur yang mengharuskan jamak ialah hujan lebat atau banjir yang menyebabkan baju basah kuyup atau terdapat lumpur di jalanan menyebabkan pakaian tercemar. Dhabit yang diambil kira ialah membasahkan pakaian sehingga jika diperah pakaian itu, boleh mengeluarkan air.

Imam masjid sahaja yang layak mengisytiharkan solat jamak ialah setelah mendapati bahawa perjalanan ke masjid membawa masyaqqah (kepayahan) kepada seluruh jemaah atau sebahagian jemaah. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid. (Sebab solat jamak ketika banjir hanya boleh dilakukan di masjid dan secara berjemaah mengikut imam)

Dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan dan banjir pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri yang mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid. Dan dari kalangan sahabat ada yang tinggal di dalam masjid seperti ahli suffah. Tetapi tidak ada nukilan riwayat bahawa mereka dikecualikan daripada jamak. Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran :

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

"Kami tidak menjadikan bagi kamu semua kesusahan di dalam agama ini." (QS Al-Hajj : 78)

Walau bagaimanapun, para ulama' meletakkan syarat tertentu bagi melaksanakan solat jamak tersebut. Solat jamak ialah yang didirikan dengan menggabungkan di antara dua waktu solat iaitu Solat Zohor digabungkan dengan Solat Asar, atau Solat Maghrib digabungkan dengan Solat Isya’ dengan syarat-syarat tertentu.

Jumhur ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafi'eyah dan Hanabilah r.anhum meletakkan bahawa tidak harus bagi seseorang yang tiada sebab yang disebutkan untuk melakukan solat secara jamak. Ini kerana hadis-hadis yang menerangkan bahawa baginda SAW lebih banyak melakukan solat pada waktunya. Cuma pada waktu tertentu sahaja baginda SAW melaksanakan jamak atau qasar solat.

Disebutkan oleh Saidina Ibn Mas’ud r.a :

ما رأيت النّبيّ صلى الله عليه وسلم صلّى صلاة لغير ميقاتها إلاّ صلاتين جمع بين المغرب والعشاء بجمع » أي بمزدلفة " الحديث

"Tidak pernah aku melihat Baginda SAW melaksanakan solat bukan pada waktunya melainkan dua waktu solat yang Baginda SAW dirikan bukan pada waktunya iaitu solat Maghrib dan Isya’ yang didirikan secara Jamak ketika di Muzdalifah."

Malahan terdapat sebahagian para ulama' membenarkan untuk melakukan solat Jamak walaupun tanpa sebab. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah al-Imam Asyhab (ulama' Malikiyah), Ibn Munzir (ulama' Syafie), Ibn Sirin, dan Ibn Syabramah r.anhum. Tetapi mereka bukanlah meletakkan perkara ini harus secara mutlak .Sebaliknya perkara ini diharuskan jika seseorang tersebut tidaklah menjadikannya adat seharian dan tidak bermudah-mudah melakukannya setiap hari.

Para ulama hadis juga membenarkan perkara ini berdasarkan hadis Baginda SAW :

عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال : « إنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم جمع بين الظّهر والعصر والمغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر » فقيل لابن عبّاس لم فعل ذلك قال : أراد أن لا يحرج أمّته .

"Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.anhuma katanya: Sesungguhnya baginda Nabi SAW menjamakkan antara zohor dan asar, Maghrib dan Isya’ ketika di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan (tanpa sebab). Bila ditanyakan kepada Saidina Ibn Abbas r.anhuma: Mengapa Baginda SAW melakukan sedemikian? Maka beliau menjawab: "Baginda SAW tidak ingin menyusahkan umatnya."

Berdasarkan hadis yang kita sebutkan, maka memang terdapat sebahagian ulama berpendapat bahawa jamak tanpa sebab adalah dibenarkan. Tetapi perlu diingat, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh seseorang yang ingin melakukan sedemikan. Mereka perlu memastikan perkara-perkara yang kita sebutkan di sini diraikan dan diambil perhatian: (Mausu’ah Kuwaitiyah Jilid 15 M/S 1932)

1) Tidak melakukan solat secara Jamak sebegini secara kerap dan berterusan. Maksudnya cuma melakukannya sekali sekala sahaja (itupun jika terdesak untuk melakukan sedemikan).

2) Mestilah melaksanakan secara Jamak iaitu solat Zohor 4 rakaat dihimpunkan dengan Solat Asar 4 rakaat. Atau solat Maghrib 3 rakaat dihimpunkan dengan solat Isyak 4 rakaat. Ini bermaksud tidak boleh bagi seseorang tersebut mengqasarkan solatnya iaitu menjadikan solat 4 rakaat menjadi 2 rakaat seperti didirikan ketika musafir.

KESIMPULAN :
Memang Agama Islam adalah agama yang mudah, tetapi bukanlah boleh kita ambil mudah di dalam semua perkara khususnya pada bab ibadat di dalam Islam. Ini perlulah difahami dengan jelas dan tuntas. Wallahu a’lam

Ahad, 28 Disember 2014

Edisi Khas Untuk Mangsa Banjir. ... JENAZAH DARURAT

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 6 Rabiulawal 1436H.
 (EDISI KHAS UNTUK MANGSA-MANGSA BANJIR  ( JENAZAH DARURA
Ketentuan Allah pada alam (dibaca bencana alam) dalam bentuk kerosakan di atas muka bumi yang sukar diduga seperti banjir, tanah runtuh, letupan gunung berapi, gempa bumi, tsunami dan sebagainya, boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Dulu, kita mendabik dada kononnya negara yang paling selamat dari bencana alam dalam kalangan negara Asean, Asia Tenggara, Asia atau seluruh dunia.
Ribut Greg di Sabah, ombak tsunami di Langkawi, angin puting beliung di Kedah dan Sungai Besar, Selangor dan kejadian banjir yang berlaku hampir di separuh Malaysia sekarang ini membuktikan sebaliknya. Allah boleh sahaja membawa semua kegemparan ini ke negara kita semudah Allah menciptakan alam ini juga...
PENCERAHAN :
Bila berlaku semua ini pasti akan berlaku kehilangan harta benda, kematian binatang ternakan termasuklah kehilangan nyawa manusia yang bukan sedikit jumlahnya. Tidak seperti terkorbannya binatang ternakan atau makhluk Allah yang lain, korban yang melibatkan nyawa manusia (jenazah) perlu diurus dan dikendalikan sebaik mungkin.
(DAPATKAN BUKU CCUK DI SEMUA KEDAI BUKU SINAR, MPH DAN KEDAI BUKU POPULAR DI SELURUH NEGARA - CETAKAN TERHAD)
Pengurusan jenazah semasa berlakunya bencana alam, merupakan suatu tugas yang amat rumit sekali bagi para pengurus jenazah jika dibandingkan dengan pengurusan jenazah semasa aman. Pengurus-pengurus jenazah tidak lagi bebas mengurus jenazah sepertimana biasa dilakukan, tetapi akan diawasi dan diarah oleh pihak berkuasa dan Jabatan Agama. Menjadi tanggungjawab pihak masjid berhampiran bagi menguruskan jenazah dalam kariahnya yang biasanya akan turut dibantu oleh pihak polis, tentera, hospital, sukarelawan dan serta dipantau oleh Jabatan Agama Negeri dari masa ke semasa.
Pengurusan jenazah merangkumi semua perbuatan seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan terakhir sekali mengkebumikan mayat menurut kaedah yang ditentukan Islam perlu dilaksanakan sebaik dan semampu mungkin dalam keadaan bencana seperti banjir ini atau ketika darurat. Terutamanya jenazah seorang muslim, perlulah disempurnakan sebagai suatu tuntutan fardu kifayah dan tidak boleh diabaikan atau diambil mudah.
Sebagai contoh dalam waktu peperangan, sekiranya tidak memiliki kain kapan yang dapat menutup keseluruhan anggota si mati, maka cukuplah ditutup sekadar yang termampu dari bahagian jasad. Sekiranya tidak ada air untuk dimandikan, maka boleh digantikan dengan tayamum.
Begitu juga, sekiranya keadaan mayat hampir reput dan hancur sekiranya dimandikan dengan air, maka cukuplah tayamum sahaja. Sesungguhnya, Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang di luar upaya kita.
Dalam semua keadaan, prinsipnya, Allah tidak memberi tanggungjawab untuk kita melainkan dalam kadar yang kita mampu melakukan. Pengurusan jenazah digugurkan bagi jenazah yang gagal ditemui seperti dimakan harimau, berkecai (dibom dengan C4 contohnya) atau hilang tenggelam dalam banjir besar entah kemana.
Sekiranya dijumpai itu hanya sebahagian daripada anggota badan si mati maka menurut Imam Syafie, Imam Ahmad Hanbal dan Imam Ibnu Hazmin, anggota itu hendaklah dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan ke atasnya dengan niat bersembahyang ke atas diri si mati.
Berbeza sedikit dengan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, sekiranya anggota si mati yang dijumpai itu melebihi separuh jasad seperti dari kepala sehingga pinggang, maka barulah anggota itu dimandikan dan dikapankan dan disembahyangkan. Sekiranya anggota tidak sampai separuh, maka tidak perlu dimandikan.
Sekiranya diyakini berdasarkan pertunjuk yang jelas mayat itu adalah Muslim, maka segala pengurusan jenazah sebagai seorang Islam hendaklah diikuti. Bagi jenazah bukan Islam pula, sebahagian ulama' berpendapat ia tidak perlu dimandikan seperti seorang muslim. Selepas dikapan dan disembahyangkan jenazah muslim boleh terus dikebumikan dengan seberapa segera di tempat tinggi yang tidak ditenggelami air untuk mengelakkan wabak penyakit dan masalah-masalah lain.
KESIMPULAN :
Hatim bin Al-'Asim menyatakan Allah SWT tidak suka orang yang melakukan sesuatu perkara dengan tergopoh-gapah atau tergesa-gesa kecuali pada 5 perkara antaranya ialah bila berlaku kematian maka segerakan lah pengkebumiannya. Wallahu a'lam - Sayunya melihat video yang diviralkan yang melibatkan seorang warga emas lemas di sungai. Innalillah wa inna ilaihi roji'un. Ukay's (Pondok Balai Ilmu & Homestay SAFC. Menginap sambil menderma, dapat tidur sambil dapat pahala)

PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015

#Untuk Siaran Serta Merta

KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA
SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR

Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi  negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad).  Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).  Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan

b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.

Terima kasih.

Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014

Edisi Khas Untuk Mangsa Banjir ..SENTAPLAH PULAK

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 7 Rabiulawal 1436H. 
EDISI KHAS UNTUK MANGSA-MANGSA BANJIR
SENTAPLAH PULAK ! (1)

Dalam keadaan yang penuh dengan kekelam-kabutan ini, kacau-bilau dan kegemparan ini sangat memerlukan pemahaman hati semua hati yang terlibat. Sama ada pihak yang membantu atau pihak yang dibantu. Pihak penyelamat atau pihak yang minta diselamatkan. Jaga hati masing-masing, dikhuatiri musibah banjir ini asalnya boleh menjadi asbab pahala kepada kedua-dua pihak akan menjadi sebaliknya.
PENCERAHAN :
Contoh, yang memberi atau yang menghulurkan bantuan jika tidak disebut namanya, rasa tidak dihargai, tidak dipeduli, takut tidak diundi, tidak 'dihighlight' media atau manusia jangan SENTAP ! Sebab kita nak perhatian dan redha Allah, bukan nak perhatian dan redha manusia. Jika SENTAP, Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyatakan ini termasuk dalam amalan yang membazir kerana akan menjadi sia-sia kerana tidak berpahala.
Jadikanlah amal perbuatan kita itu ikhlas hanya kerana Allah semata-mata dan jangan mengharapkan ucapan terima kasih dari orang lain! Dan jangan bersedih atau gelisah apabila kebaikan yang kita curahkan kepada orang lain justeru dibalas dengan celaan, atau tatkala “Tangan putih” yang kita hulurkan dibalas dengan tamparan yang menyakitkan. Kerana itu, apa yang seharusnya anda tuntut hanyalah balasan pahala dari Allah. Allah S.W.T berfirman tentang wali-wali-Nya : “... Mereka mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya ….” (QS Al-Fath : 29)
Ada seorang soleh yang memberikan sepinggan makanan yang sangat lazat kepada seorang yang buta. Keluarga orang yang buta berkata “Bukankah orang yang buta ini tidak tahu apa yang dimakannya.” Orang soleh itu menjawab: “Tetapi, bukankah Allah mengetahuinya.”
Selama kita menyakini bahawa Allah selalu melihat dan mengetahui kebaikan yang kita lakukan, serta mengetahui keutamaan yang kita hulurkan, maka mengapa kita mengharapkan sesuatu daripada manusia dan SENTAP?
(DAPATKAN BUKU CCUK DI SEMUA KEDAI BUKU SINAR, MPH DAN KEDAI BUKU POPULAR DI SELURUH NEGARA - CETAKAN TERHAD)
Begitu juga kepada mangsa-mangsa musibah banjir atau para penerima bantuan. Jangan SENTAP apabila lambat atau tidak menerima bantuan sepenuhnya seperti yang diharapkan. Sebaliknya, tarbiyah banjir untuk mendidik diri kita agar lebih sabar dan redha kerana SENTAP telah bertukar menjadi caci-maki, cercaan dan umpatan maka pahala yang sepatutnya diperolehi dari musibah ini akan menjadi sebaliknya.
Orang yang mempunyai sifat mudah berkecil hati atau SENTAP ini adalah orang yang mempunyai masalah dengan diri sendiri. Walaupun mereka sebenarnya SENTAP dengan orang lain atau orang sekeliling tetapi mereka ini sebenarnya orang yang mementingkan diri sendiri. Mereka juga merasakan kebahagiaan dan ketenangan hidup mereka, bergantung kepada orang lain, bukan dari Allah SWT.
Mereka juga tidak pasal-pasal menyusahkan diri sendiri dan membiarkan orang lain enjoy melihat diri kita menderita. Sebagai contoh, orang menyindir serta mengata pada saiz badan kita selama 10 saat. Kita termakan serta SENTAP dengan sindiran itu hingga menyebabkan kita tak lalu makan, tak nak keluar rumah, tak boleh tidur malam selama 10 tahun. Jadi, siapa yang rugi? Orang yang SENTAP lah...
Rasa SENTAP adalah sifat "Attention seekers" atau biasa orang sebut KKS (Kurang Kasih Sayang). Mereka mahu dikenali dan mahu diberikan perhatian. Maksud Ustaz Kay, sifat kecil hati ini  ada pada semua benda dalam diri mereka. Orang tak sapa kita, kita SENTAP. Orang tak senyum, SENTAP. Orang tak jemput datang ke rumah terbuka pun kita SENTAP. Orang tegur sikit kita SENTAP. MashaAllah! Sifat SENTAP ini adalah sifat yang boleh memundurkan kita.
Kalau orang tak sapa kita, kita sapa dia. Kalau dia tak jawab sapaan kita, biarkan saja. Kita tetap bahagia. Sebab kebahagiaan kita bukan bergantung pada jawapan dia. Orang tak jemput ke kenduri dia. Tak jadi masalah. Kita akan tetap bahagia sebab kita boleh menggunakan masa tersebut untuk keluarga atau diri. Mungkin, kenduri itu untuk orang tertentu sahaja dan jika kita ke sana kita akan jadi lebih menderita jika kita gagal untuk menyesuaikan diri dengan tetamu-tetamu lain.
KESIMPULAN :
Orang yang mempunyai besar hati ialah orang yang mempunyai banyak ruang dalam hati dia. Ruang untuk gembira, maaf, lupakan kesilapan orang, redha dan sebagainya. Mungkin juga ada ruang untuk sedikit SENTAP tetapi ruang itu sangat sempit. Sifat-sifat negatif dalam ruang-ruang itu adalah sangat kecil dan mudah hilang jika ruang yang ada sifat positif telah memenuhi hati kita. Insya Allah ! Wallahu a'lam - Santap, sarap, jangan sangap dan jangan sentap-sentap. Ukay's (UST. HJ KAMIL BIN SIDEK)

Jumaat, 26 Disember 2014

Ikan Wadik Ulahan Banjar

Ikan wadik memang popular dalam kalangan orang banjar . Ikan wadik macam ikan pekasam tapi tak sama.  Arwah emak selalu buat ikan wadik , maklumla masa tu ikan haruan, sepat  dan puyu memang banyak . Teringat masa kecil2 dulu... selepas musim mengerat/ menuai padi adalah waktu menimba telaga (mengeringkan perigi) ... masa tu akan dapat ikan haruan, keli, sepat dan ikan puyu dengan cukup banyak . Sebahagian ikan  dijemur untuk dijadikan ikan kering dan sebahagian lagi dibuat ikan wadik. Maklumla masa tu mana ada peti ais nak simpan ikan. Jadi inilah cara yang dilakukan oleh mereka apabila dapat ikan yang banyak ( ikan dikeringkan dan dibuat wadik ).

Air wadik dimakan bersama pelam muda ... maklumla pelam ada di sekeliling rumah. Pagi2 dah kutip buah pelam ... boleh dapat satu timba/baldi. Dan kini , ia hanya tinggal kenangan. Jom saya kongsikan cara nak mewadik... seronok jika pandai mewadik ... lepas nie tak yah nak beli lagi, buat je sendiri. Tapi tak boleh makan selalu sebab ia masin... ken la jugak jaga kesihatan.

Bahan-bahannya :
1.5 kilo Ikan puyu/sepat/haruan ( Siang dan bersihkan ikan sebersih2nya )
Garam kasar
Asam keping
2 cawan beras ( basuh beras dan toskan kemudian beras disangan dan ditumbuk halus )
Balang/tupperware untuk mengisi ikan

Cara Membuatnya :

Tabur beras di dalam balang ( beras yang telah disangan dan ditumbuk halus ), kemudian tabur garam kasar . Lepas tu susun ikan di dalam balang. Taburkan semula beras, tabur garam dan letak asam keping yang dah dibasuh. Buat secara berulangkali hingga ikan habis. Ingat ye ... tabur beras, garam, ikan, beras, garam dan asam. Tutup rapat balang tadi dan peram selama satu minggu. Lepas satu minggu ... dah boleh masak ikan wadik tu.

Mewadik ikan sepat, puyu dan haruan ... susun ikan dalam balang

Tabur beras, garam ,ikan , beras, garam dan asam keping

Dah dapat satu balang..
Ikan wadik nie tahan disimpan lama selagi belum dimasak.

Basuh bersih ikan wadik kemudian goreng . Jika ikan yang dibuat tu masin ... rendan dulu sebelum dimasak untuk menggurangkan kemasinannya. Apabila ikan dah masak... angkat,  kemudian gorengkan hirisan bawang merah dan cili api . bila ia dah garing ... taburkan je atas ikan tadi.
 Sedap dimakan dengan nasi putih yang panas2.

Kacang Kuda Rempah Kari

Sekarang ni musim hujan dan cuaca pun sejuk je.... pekena kacang kuda berempah kari pun sedapp. Jom kita masak...

Bahan :
kacang kuda ( rendam semalaman atau 5 jam )
segengam ikan bilis (bersihkan dan goreng garing)
seulas bawang putih
2 ulas bawang merah
3 tangkai cili kering (potong serong, buang biji )
2 sudu makan rempah kari daging
1 sudu makan cili kisar
Daun kari
sedikit minyak untuk menumis
sedikit garam

Cara :
Kacang kuda direbus hingga empuk dan toskan
Tumis bawang putih , bawang merah dan cili kering hingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan tumis lagi.
Kemudian masukkan rempah kari ... tumis lagi.
Masukkan daun kari , garam dan perasa , Dah cukup rasa... baru masukkan kacang dan ikan bilis.
Apabila kacang kuda masih belum empuk ... boleh tambah sedikit air biar kacang tu betul2 empuk ... baru best.
Jom nikmati kacang kuda berempah kari di waktu minum petang bersama keluarga.

Kacang yang siap direbus
Tumis bawang , cili kering dan masukkan cili kisar ... tambah pedas 
Tumis rempah hingga pecah minyak
Masukkan ikan bilis memang tambah sedap

Ok dah siap dah ... Bismillah ..

Selasa, 23 Disember 2014

Muzium Kapal Selam, Melaka

Melawat ke Muzium Kapal Selam.  Masa kami ke sana,  jalan masuk ke Muzium  sangat teruk sebab kawasan sekitar masih dalam pembinaan. Macam tak percaya je... itu jalan ke Muzium Kapal Selam. Apa tidaknya.... jalan tanah yang becak dan berlopak.
Kapal Selam Penyerang
Bayaran tiket RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak2
Datang musim hujan ... bertakung air kat bawah kapal ni
Keadaan di dalam kapal Selam
Katil yang disediakan bagi sesiapa yang berhajat untuk bermalam di dalam kapal selam. Minima 20 orang dan maksima 35 orang untuk satu malam. Bayaran bermalam RM120 semalam . Untuk keterangan lanjut boleh layari blog perzim.
Tengok apa tu ... 
Bilik tidur pegawai kapal selam
Bilik Mesyuarat
Bilik tidur ... nak kena badan slim2 je tidur kat sini... tengok la ruangnya. 
Dapur masak
Macam mana la diorang masak kat dalam kpal nie... aduh sempitnya.
Terlalu sempit ruang di dalam kapal selam nie..... 
Lawatan menambah pengetahuan ... bagus.
Harga tiket masa nie ....Rm3 dewasa dan RM1 kanak2
ke muzium
Jalan yang masih dalam pembinaan ... kawasan sekitar juga dalam pembinaan. Akan datang tentu lebih baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...