السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 3 Rabiulawal 1436H. RUKHSAH BANJIR ! (KHAS UNTUK MANGSA-MANGSA BANJIR)
Rukhsah ialah kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT dalam perlaksanaan ibadat solat dalam keadaan tertentu khusisnya ketika musafir. Secara asasnya, syarak memerintahkan supaya didirikan setiap solat pada waktunya (lihat Al-Nisa: 103), kecuali jika wujud uzur syar'ie yang mengharuskan jamak.
PENCERAHAN
Antara uzur yang mengharuskan jamak ialah hujan lebat atau banjir yang menyebabkan baju basah kuyup atau terdapat lumpur di jalanan menyebabkan pakaian tercemar. Dhabit yang diambil kira ialah membasahkan pakaian sehingga jika diperah pakaian itu, boleh mengeluarkan air.
Imam masjid sahaja yang layak mengisytiharkan solat jamak ialah setelah mendapati bahawa perjalanan ke masjid membawa masyaqqah (kepayahan) kepada seluruh jemaah atau sebahagian jemaah. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid. (Sebab solat jamak ketika banjir hanya boleh dilakukan di masjid dan secara berjemaah mengikut imam)
Dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan dan banjir pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri yang mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid. Dan dari kalangan sahabat ada yang tinggal di dalam masjid seperti ahli suffah. Tetapi tidak ada nukilan riwayat bahawa mereka dikecualikan daripada jamak. Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran :
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
"Kami tidak menjadikan bagi kamu semua kesusahan di dalam agama ini." (QS Al-Hajj : 78)
Walau bagaimanapun, para ulama' meletakkan syarat tertentu bagi melaksanakan solat jamak tersebut. Solat jamak ialah yang didirikan dengan menggabungkan di antara dua waktu solat iaitu Solat Zohor digabungkan dengan Solat Asar, atau Solat Maghrib digabungkan dengan Solat Isya’ dengan syarat-syarat tertentu.
Jumhur ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafi'eyah dan Hanabilah r.anhum meletakkan bahawa tidak harus bagi seseorang yang tiada sebab yang disebutkan untuk melakukan solat secara jamak. Ini kerana hadis-hadis yang menerangkan bahawa baginda SAW lebih banyak melakukan solat pada waktunya. Cuma pada waktu tertentu sahaja baginda SAW melaksanakan jamak atau qasar solat.
Disebutkan oleh Saidina Ibn Mas’ud r.a :
ما رأيت النّبيّ صلى الله عليه وسلم صلّى صلاة لغير ميقاتها إلاّ صلاتين جمع بين المغرب والعشاء بجمع » أي بمزدلفة " الحديث
"Tidak pernah aku melihat Baginda SAW melaksanakan solat bukan pada waktunya melainkan dua waktu solat yang Baginda SAW dirikan bukan pada waktunya iaitu solat Maghrib dan Isya’ yang didirikan secara Jamak ketika di Muzdalifah."
Malahan terdapat sebahagian para ulama' membenarkan untuk melakukan solat Jamak walaupun tanpa sebab. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah al-Imam Asyhab (ulama' Malikiyah), Ibn Munzir (ulama' Syafie), Ibn Sirin, dan Ibn Syabramah r.anhum. Tetapi mereka bukanlah meletakkan perkara ini harus secara mutlak .Sebaliknya perkara ini diharuskan jika seseorang tersebut tidaklah menjadikannya adat seharian dan tidak bermudah-mudah melakukannya setiap hari.
Para ulama hadis juga membenarkan perkara ini berdasarkan hadis Baginda SAW :
عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال : « إنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم جمع بين الظّهر والعصر والمغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر » فقيل لابن عبّاس لم فعل ذلك قال : أراد أن لا يحرج أمّته .
"Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.anhuma katanya: Sesungguhnya baginda Nabi SAW menjamakkan antara zohor dan asar, Maghrib dan Isya’ ketika di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan (tanpa sebab). Bila ditanyakan kepada Saidina Ibn Abbas r.anhuma: Mengapa Baginda SAW melakukan sedemikian? Maka beliau menjawab: "Baginda SAW tidak ingin menyusahkan umatnya."
Berdasarkan hadis yang kita sebutkan, maka memang terdapat sebahagian ulama berpendapat bahawa jamak tanpa sebab adalah dibenarkan. Tetapi perlu diingat, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh seseorang yang ingin melakukan sedemikan. Mereka perlu memastikan perkara-perkara yang kita sebutkan di sini diraikan dan diambil perhatian: (Mausu’ah Kuwaitiyah Jilid 15 M/S 1932)
1) Tidak melakukan solat secara Jamak sebegini secara kerap dan berterusan. Maksudnya cuma melakukannya sekali sekala sahaja (itupun jika terdesak untuk melakukan sedemikan).
2) Mestilah melaksanakan secara Jamak iaitu solat Zohor 4 rakaat dihimpunkan dengan Solat Asar 4 rakaat. Atau solat Maghrib 3 rakaat dihimpunkan dengan solat Isyak 4 rakaat. Ini bermaksud tidak boleh bagi seseorang tersebut mengqasarkan solatnya iaitu menjadikan solat 4 rakaat menjadi 2 rakaat seperti didirikan ketika musafir.
KESIMPULAN :
Memang Agama Islam adalah agama yang mudah, tetapi bukanlah boleh kita ambil mudah di dalam semua perkara khususnya pada bab ibadat di dalam Islam. Ini perlulah difahami dengan jelas dan tuntas. Wallahu a’lam