Create your own banner at mybannermaker.com!

NUFFNANG

Ahad, 20 April 2014

Bersatu kita Teguh

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

TAZKIRAH HARI INI (Ahad, 20 Jdl. Akhir 1435H)
Bersatu kita bersatu,
Dengan Setia Berganding Bahu,
Jiwa Teguh Berpadu,
Kita Rumpun Melayu.

Bersatu kerana bangsa atau kerana agama ? Nabi Muhammad SAW berulang kali menyeru kepada setiap orang yang beriman agar tidak berpecah-belah dan diwajibkan kepada kita agar bersatu kepada 'Tali Allah' kerana bersatu padu merupakan perintahnya-Nya di dalam al-Quran. Allah SWT mewajibkan kepada orang-orang beriman agar sentiasa berjamaah dengan guna kalimah i'tisam (اعتصام). Allah menyeru agar setiap mukmin sentiasa bersatu sebagaimana firman-Nya:

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".
(QS. Ali Imran :103)
       
PENCERAHAN :
'Tali Allah' atau hablullah (حبل الله) yang dimaksudkan di sini ialah 'perjanjian Allah' sebagaimana yang terdapat di dalam ayat al-Quran yang mafhumnya;
"Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia". (QS. Ali Imran:112)
           
Hablullah (حبل الله) dimaksudkan juga sebagai "Al-Quran".  Ia memberi maksud bahawa kekuatan berjamaah tercipta setelah kembali kepada al-Quran, kerana al-Quran memandu ke jalan yang lurus. sebagaimana terdapat dalilnya dari hadis Nabi Muhammad SAW;

اِنَّ هَذَا اَلْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنُ ، مَنْ قَالَ بِهِ صَدَق وَعَمَلَ بِهِ رَشَد ، وَمَنِ اعْتَصَمَ بِهِ هدى اِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ.

"Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh, sesiapa yang berkata dengannya benar, beramal dengannya mengikut petunjuk dan sesiapa berpegang kepadanya mendapat hidayah ke jalan yang lurus." Jelas di sini, Allah SWT menyeru agar para hamba-Nya yang beriman sentiasa bersatu dengan berpegang teguh kepada 'Tali Allah'. Maka 'Tali Allah' yang dimaksudkan antaranya ialah;

    (1) “Al-Jamaah” iaitu sebagaimana dapat difahami dari penafsiran Abdullah bin Mas'ud bahawa Hablullah ialah al-Jamaah.  Menunjukkan bahawa berjamaah itu wajib dan berpecah-belah adalah haram.
    (2) “Islam” iaitu sebagai agama Allah yang mana manusia dipersaudarakan oleh Allah dengan agama ini.
    (3) "Al-Quran" kita diseru agar berpegang kepada al-Quran kerana ia menjadi penunjuk jalan yang lurus, cahaya yang terang dan penyelamat kehidupan di dunia dan di akhirat.
    (4) “Sirat al-Mustaqim” (صراط المستقيم) jalan yang lurus. Manusia akan bersatu jika mengikut satu jalan yang lurus.
    (5) “Ikhlas”, sebagaimana yang dijelaskan oleh Abul 'Aliyah rahimahullah  ( بالاخلاص لله وحده ) "Dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah Yang Esa".
    (6) “Perjanjian dan perintah Allah”, sebagaimana dari Qatadah: "Dengan perjanjian dan suruhan-Nya."

Semua pihak perlu kembali semula kepada panduan al-Quran. Tinggalkan maksiat dan kemungkaran, tegakkan keadilan, perjuangkan agama Allah, seru kepada perkara kebaikan dan kehidupan beragama, berlaku baik kepada orang lain  serta sentiasa berusaha untuk meningkatkan iman setiap masa. Itulah ciri-ciri umat terbaik.

Nabi tidak pernah menyeru umat Islam bersatu atas dasar kebangsaan, atas dasar Arab atau Quraisynya baginda, tetapi bersatu atas dasar Islam. Kerana pasti kita tidak akan dapat bersatu atas dasar bangsa yang pelbagai ini, sebaliknya Islamlah yang akan menyatukan kita semua.

KESIMPULAN :
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, persoalan yang membelenggu umat Islam masa kini bukanlah hal remeh-temeh tetapi persoalan utama mereka ialah masih belum dapat menerima syariat Islam sepenuhnya, lemahnya akidah, rosaknya akhlak, terabainya solat, banyaknya rasuah dan maksiat, lemahnya pentadbiran dan pelbagai lagi. Hal ini berpunca daripada mereka tidak mahu menggunakan akal fikiran, hilangnya penghayatan kepada Rukun Iman, Islam dan Rukun Ihsan serta terputusnya 'Tali Allah'
Wallahu a'lam - Cuit-cuit Ust Kay.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...