Bulan Ramadan datang lagi dan kita bersyukur masih diberi kesempatan untuk menyambut kedatangannya dalam keadaan yang tenang. Sememangnya semua orang inginkan ketenangan dalam menjalani kehidupan seharian dan bukannya hati yang sentiasa risau dan resah gelisah.
Namun kebelakangan ini kita dapati terdapat pelbagai kes bunuh diri dan cubaan bunuh diri yang berlaku di sekeliling, termasuklah di kalangan mereka yang profesional seperti doktor dan peguam.
Masyarakat tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku sehingga memaksa seseorang itu mengambil keputusan untuk menamatkan nyawanya sendiri? Perkara ini berkaitan tekanan mental yang menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dan berlaku perubahan kepada perasaan dan tingkah lakunya.
Masalah mental kini menjadi ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Ini menakutkan kerana ini bermakna seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini mengalami penyakit mental.
Masyarakat tidak seharusnya memandang negatif dan menyisih mereka yang ada penyakit mental ini. Anak-anak harus diberitahu agar jangan melabel pesakit mental sebagai ‘gila' kerana tiada siapa yang suka perkara ini terjadi kepada ahli keluarga mereka.
Sebaliknya kita harus cuba untuk memahami punca atau sebab mereka berkelakuan demikian. Kita harus ingat bahawa bukan semua orang mampu menghadapi tekanan hidup dengan baik. Terutamanya dalam era menuju ke arah negara maju, di mana segala-galanya bergerak dengan pantas serta kos sara hidup yang kian meningkat.
Dalam keadaan ini pasti ada mereka yang mengalami masalah kewangan dan sebagainya. Kita dapati selalunya mereka yang bermasalah akan suka menyendiri. Perkara ini yang akan membuat seseorang itu cenderung ke arah sakit mental.
Perkhidmatan kaunselling mampu membantu supaya pesakit dapat meluahkan isi hati mereka. Pada masa ini kita hanya mempunyai 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk, satu angka yang jelas tidak mencukupi.
Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini ambillah peluang untuk membersihkan hati agar sentiasa merasa tenang dan gembira. Hati yang bersih sahaja yang akan menerima hidayah daripada Allah SWT, khususnya di bulan Ramadan yang disebut sebagai bulan hidayah.
Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada sebuah jasad. Jika ia baik, akan baik seluruh amal manusia. Jika ia rosak, akan rosak seluruh amalnya. Ketahuilah, ia adalah hati(Hadis Riwayat Ahmad).
Beberapa perkara yang boleh kita lakukan bagi merawat hati yang pertamanya, muhasabah diri. Muhasabah diri dalam bahasa Arab disebut muhasabatun nafsi, ertinya mengenal pasti apa sahaja penyakit hati masing-masing.
Seterusnya adalah memperbaiki diri atau bertaubat atas segala dosa-dosa lalu. Mintalah ampun kepada Allah yang Maha Pengampun semoga hati akan menjadi lebih tenang.
Cuba untuk mengurangkan bercakap dalam bulan Ramadhan ini. Jagalah mulut kerana terlalu banyak bercakap boleh membuat hati menjadi keras. Jangan sibuk mengata dan mengambil tahu hal orang. Bercakap perkara yang penting sahaja dan hindari menjadi orang yang suka bercakap besar, suka bergosip dan sebagainya.
Amalkan membaca al-Quran di bulan Ramadhan, memahami maksudnya dan mengamalkannya. Selain daripada pahalanya berganda-ganda, ia mampu menyuci dan menenangkan hati.
Ia juga dapat menjauhkan sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, buruk sangka, pemarah, takbur, cintakan dunia, penakut dan malas. Sentiasa berzikir dan mengingati Allah setiap masa. Jika dilaksanakan bersungguh-sungguh, ia akan menghadirkan hati yang tenteram serta bersinar terang.
Banyakkan juga bersedeqah kerana sedeqah menawarkan ruang penyucian jiwa. Selain mampu menghindarkan sifat-sifat bakhil, bersedeqah di bulan Ramadan lebih besar pahalanya. Hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: " Sedeqah yang paling utama adalah sedeqah pada bulan Ramadan".
Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba melakukan kebajikan di bulan Ramadan seperti memperbanyakkan sedeqah kerana balasan kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedeqah bukan hanya memberikan wang ringgit tetapi termasuk juga memberi makan fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.
Amalan bersedeqah ini harus diteruskan selepas bulan Ramadan kerana ia dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mengeratkan ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu. Sedeqah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedeqah yang ikhlas dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk.
Belajar mengawal emosi dan menundukkan nafsu. Nafsu makan, nafsu marah, nafsu seks, nafsu harta, nafsu pangkat, semuanya ditundukkan semasa berpuasa. Emosi dan nafsu yang tidak terkawal akan membuat hati menjadi tidak tenang dan menjurus kepada penyakit hati.
Apa yang jelas bulan Ramadan bukan sekadar menahan makan dan minum tetapi juga peluang membersihkan hati melalui amalan berterusan, walaupun selepas bulan Ramadan. Apabila hati bersih, hidup akan menjadi lebih tenang dan terhindar dari segala kegelisahan dan ketakutan.
Ditulis oleh Mastura binti Mohd Zain. .......in Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan