Create your own banner at mybannermaker.com!

NUFFNANG

Rabu, 13 November 2013

Penguatkuasa JAIP Mati Di Tembak Di Hadapan Rumah

Tembak pegawai Jaip
Jenazah Raffli Abdul Malek dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat selepas di tembak dari jarak dekat di Taman Indera Mahkota Dua, Pahang
"Abang gantunglah langsir," itu kata-kata terakhir Rosmahawani Abd Wahab, 41, isteri Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Abdul Malek (gambar)  kepada arwah sebelum suaminya mati akibat terkena tiga das tembakan di rumah mereka di Indera Mahkota 2 pada hari Ahad lepas( 10 Nov 2013 ).

Mohd Raffli, 49, meninggalkan seorang isteri dan empat anak iaitu Mohd Asyraff, 22, Mohd Abrar, 20, Mohd Amin, 15, dan Mohd Akashah, 12.

Menurut Rosmahawani, ketika kejadian mereka berdua sedang melakukan kerja-kerja rumah dan beliau menyuruh arwah menggantung langsir sebelum Mohd Amin memaklumkan ada orang ingin berjumpa bapanya di luar rumah.

"Anak saya ketika itu dekat luar, kemudian memberitahu, ada orang nak jumpa Abah, Ustaz (Mohd Raffli) yang sedang menggantung langsir kemudian keluar untuk menemui orang tersebut.

"Saya dengar orang beri salam dan sempat mendengar Ustaz berkata kepada orang yang ditemuinya itu, 'tak nak masuk rumah dulu ke,' sebelum terdengar bunyi dua das tembakan dan anak saya menjerit, 'Abah kena tembak, Allahuakbar!" katanya ketika mengimbas kembali kejadian itu kepada pemberita di rumahnya, Ahad.

Dalam kejadian 1.55 tengah hari Ahad, Mohd Raffli, 49, mati selepas terkena dua das tembakan di dadanya yang dilepaskan oleh seorang daripada tiga suspek yang dipercayai menaiki kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih.

Ketika ditanya sama ada arwah pernah menerima ancaman atau ugutan daripada pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai penguatkuasa JAIP, Rosmahawani berkata setakat dalam pengetahuannya, Mohd Raffli tidak pernah mendapat sebarang ugutan atau ancaman daripada sesiapa.

"Malah saya dah tanya anak buah beliau sama ada arwah pernah menerima ugutan tetapi merekapun berkata tidak ada," kata suri rumah itu.

Ditanya sama ada beliau atau arwah mengenali suspek, Rosmahawani menjawab tidak namun memaklumkan dia perasan kereta yang dinaiki suspek sering berlegar-legar di kawasan perumahan mereka dua tiga hari kebelakangan ini.

Dalam pada itu, kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, yang sudi mencemar duli melawat keluarga mangsa di sini lewat petang Ahad.

Mohd Raffli, 49, dipercayai sedang mengendali tiga kes besar berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, gerakan Syiah dan operasi kelab malam.

Sementara itu, rata-rata individu yang mengenali Mohd Raffli  menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar.

Pengarah Jaip Datuk Mohamad Roslan Harun berkata sepanjang dua tahun mengenali arwah, beliau mendapati Mohd Raffli adalah seorang pekerja yang dedikasi dan tegas dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa JAIP.

"Walaupun tegas beliau (Ustaz Raffli) juga sangat mengambil berat terhadap anak-anak buahnya dalam melaksanakan tugasannya," katanya.

Ditanya kemungkinan akan mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kes itu, Mohamad Roslan berkata jika ada keperluan Jaip mungkin menubuhkan satu jawatankuasa siasatan berpandukan maklumat dan siasatan polis.

Perkara itu katanya, bagi memastikan kes seperti itu tidak berlaku terhadap pegawai Jaip yang lain pada masa hadapan.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman yang turut hadir meluahkan rasa dukacita dengan pemergian arwah yang disifatkan seorang pegawai Jaip yang amat bertangunggjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikul. "Kami mengharapkan semua pihak dapat membantu dan memberi maklumat yang jelas bagi membantu (pihak berkuasa) menangkap pihak yang zalim ini.

"Beliau kerja dengan ikhlas tapi telah dianiaya dan ditembak, satu perkara yang amat mendukacitakan, kami doakan supaya roh beliau bersama dengan para solihin dan termasuk (golongan) syahid akhirat," katanya dengan nada sebak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...