Create your own banner at mybannermaker.com!

NUFFNANG

Sabtu, 14 Disember 2013

500 Mahasiswa Sertai Misi Bantuan Bencana

DUNGUN - Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Hulu Dungun, seramai 500 mahasiswa dari tiga Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) turun padang menyertai Program Misi Bantuan Bencana yang dianjurkan Dewan Undangan Negeri Bukit Besi.
   
Program selama dua hari yang bermula semalam disertai mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bukit Besi, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak.
   
Pegawai Eksekutif UiTM Bukit Besi, Zulfadli Elias berkata program sukarelawan itu bertujuan untuk mendekatkan pelajar dengan masyarakat selain meringankan beban masyarakat yang menjadi mangsa banjir.
   
"Melalui program ini, pelajar akan lebih terdedah dengan aktiviti masyarakat... ada antara pelajar yang berasal dari bandar, mereka tidak pernah merasai kesusahan masyarakat kampung dan melalui program sebegini memang dapat mengajar mereka untuk hidup bermasyarakat.
   
"Di UiTM sendiri, kami tubuhkan pasukan sukarelawan yang terdiri dari 250 sukarelawan dan kami sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat," katanya ketika ditemui Bernama selepas membersihkan kawasan perumahan dan sekolah di sekitar Kampung Wa Baru di sini hari ini.

Penyelaras Akademik Kokurikulum Pusat Pembangunan Holistik Pelajar UniSZA, Akila Mamat berkata program seperti itu dapat menyemai semangat kerjasama antara mahasiswa universitinya dengan mahasiswa universiti lain.
   
"Bila mereka sama-sama bergotong-royong bersihkan kawasan kampung, ini dapat mempertingkatkan kerjasama dan semangat setiakawan antara mereka walaupun pada awalnya mereka saling tidak mengenali," katanya.
   
Bagi seorang mahasiswa, Nurul Nadia Mohd Hashim, 19, dari UiTM Bukit Besi berkata dengan adanya program ini, ia dapat memberi satu pengalaman baharu buat dirinya dan rakan-rakan untuk menyelami nasib dan meringankan beban mangsa banjir.
   
"Saya tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti ini, ini satu perkara baharu buat saya dan memang saya cukup tersentuh melihat keadaan kampung yang telah dilanda banjir, memang sangat sedih, banyak barang penduduk yang musnah.
   
"Kami tolong bersihkan kawasan kampung, sekolah serta rumah mereka...kami tolong mana yang patut dan memang inilah masanya untuk kami berbakti pada masyarakat," kataya.

Bagi Ahmad Tamarul Qamar Misran, pelajar tahun dua Jurusan Industri Rekabentuk UniSZA, melalui aktiviti ini dapat memberi ilmu dan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dalam bilik darjah.
   
"Di sini, kami praktikkan apa yang kami belajar...berbakti pada masyarakat, memang semua ni hanya dapat kami rasai bila kami sendiri yang turun padang membantu, bukan hanya melihat orang membantu melalui video yang kami tonton di laman sosial, tapi kali ini kami sendiri yang rasai penderitaan mangsa banjir yang mana ada yang kehilangan banyak barang akibat dihanyutkan air," katanya.
   
Sementara itu, Adun Bukit Besi, Roslee Daud yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berkata pihaknya berterima kasih kepada semua mahasiswa yang prihatin dalam menjayakan misi bantuan tersebut.
   
"Memang tidak dinafikan peranan mahasiswa dalam menjayakan misi ini sangat besar dan ini menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masyarakat," katanya.
   
Menurutnya, selain mahasiswa dari tiga IPTA, turut serta dalam misi bantuan itu ialah Sukarelawan Umno daerah Dungun serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan antaranya Lembaga Pertubuhan Peladang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat (BOMBA) serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). 


Sumber Sinar Harian.

Tahniah buat semua Mahasiswa yang terlibat.... pengorbanan anda untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir amat dihargai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...