Create your own banner at mybannermaker.com!

NUFFNANG

Selasa, 17 Disember 2013

Malaysia Perlu Laksana Hudud

ISU hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia sudah mendapat liputan meluas di negara ini. Pelbagai reaksi dan pandangan telah diberikan pelbagai pihak mengenainya sehingga mengundang pelbagai kontroversi. Meskipun begitu, bagaimana dan bila hudud mampu dikuatkuasakan di negara ini masih terus menjadi teka-teki pelbagai pihak.

Wartawan Muhamad Adzhar Tajuddin dan Nina Farzuin Md Sharom bersama juruvideo Yusrizal Yusuf Ahmad serta jurufoto Sharifudin Abdul Rahim menemu ramah PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM), MUSA AWANG bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat mengenai perkara ini.

Apakah hukum hudud itu yang sebenarnya dan mengapa di Malaysia masih sukar untuk dilaksanakan?

Musa Awang: Hukum hudud ertinya hukuman yang telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai jenis kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak dan murtad. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan ALLAH. Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan, hukumnya ialah potong tangan.

Berbalik pada sejarah, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka difahamkan sudah pun melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, kedatangan British pada 1874 menyebabkan hukum itu terhakis. Memburukkan lagi keadaan, fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil.

Selepas tahun 1988, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan 121 (1A)  telah mengasingkan kedua-dua mahkamah itu, namun bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi rendah. Sebagai contoh, mahkamah syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman dalam kadar yang agak ringan di mana pesalah hanya boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebat tidak lebih  daripada enam kali. Secara total, itu sahaja kuasa yang tertakluk di bawah mahkamah seperti mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sukar melaksanakan hudud sekiranya bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi kecil dan rendah.
Mengapa Brunei mampu laksanakan? Adakah kerana jumlah penduduk di negara itu lebih kecil dan tidak berbilang kaum seperti di Malaysia?

Sistem di Brunei berbeza dengan Malaysia di mana kuasa tertinggi terletak pada sultan sendiri dan negara tersebut mengamalkan pemerintahan secara monarki. Oleh yang demikian, sultan berhak menitahkan sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita, Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud untuk dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya.

Jika Malaysia mahu laksanakan apakah perkara utama yang mesti dibuat?

MUSA AWANG: Perkara pokok yang perlu dibuat adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keduanya, kerajaan perlu meminda akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah selama ini. Kedua-dua perkara tersebut merupakan batasan atau kekangan yang menjadikan Malaysia tidak boleh melaksanakan hukum hudud.

Untuk melaksanakan hudud memerlukan kelulusan 2/3 ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Adakah 2/3 kelulusan itu datangnya dari ahli Parlimen beragama Islam sahaja?

MUSA AWANG: Tidak, 2/3 kelulusan yang dimaksudkan turut melibat ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam juga. Walaupun hukum hudud hanya tertakluk kepada individu beragama Islam, namun persetujuan daripada ahli Parlimen bukan Islam juga diwajibkan.

Mengapa Kelantan masih tidak mampu laksanakannya? Adakah Parlimen penting dalam proses untuk laksana hudud?

MUSA AWANG: Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah Syariah 1984 untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri merujuk jadual 9 senarai 2, khusus melibat jenayah-jenayah bersifat individual sahaja.

Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan. Hal ini bermaksud, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam perlembagaan. Perkara tersebut yang menyebabkan sehingga ke hari ini Kelantan tidak dapat laksanakan undang-undang Islam itu.

Pada pendapat tuan wajarkan Malaysia laksana hudud? adakah ia sesuai di negara majmuk seperti Malaysia ini?

MUSA AWANG: Pada pendapat saya kita kena tengok keadaan semasa. Di sini, kita bukan mempersoalkan hukum hudud itu tidak boleh dilaksanakan memandangkan perkara itu sememangnya sudah termaktub dalam al-Quran. Cepat atau lambat kita tetap wajib menjalankan. Cuma yang kita mesti lihat adalah berkenaan masa, sama ada sesuai atau pun tidak, malah pihak terlibat perlu juga melihat kekangan-kekangan yang mampu menidakkan hukum hudud itu dilaksanakan.  

Malaysia mempunyai dua sistem iaitu mahkamah sivil dan syariah. Jadi, sekiranya kita hendak melaksanakan hudud di mahkamah syariah misalnya, ia juga secara tidak langsung akan melibatkan beberapa peruntukan undang-undang yang sekarang tertakluk di bawah mahkamah sivil. Sebagai contoh, kesalahan mencuri; perkara tersebut sudah ada di bawah kanun keseksaan. Di bawah kanun keseksaan pencuri mungkin dipenjarakan tetapi sekiranya mengikut hudud, pesalah wajib dikenakan hukuman potong tangan. Perkara sama turut berlaku terhadap kesalahan zina di mana ia tertakluk pada enakmen jenayah syariah. Di bawah kesalahan itu, pesalah hanya boleh dipenjarakan tak melebihi 3 tahun atau didenda lebih dari RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Secara total, kesemua kesalahan yang boleh didakwa di bawah hukuman hudud sama sekali bercanggah dengan kuasa hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Berbalik kepada hukuman hudud, saya berasa sudah ada kewajaran untuk pihak terbabit melaksanakan hukuman itu. Hal ini berdasarkan pada statistik kesalahan atau jenayah yang makin ketara di negara ini.
Namun, apabila kita sudah bersedia melaksanakannya nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah.

Pelaksanaan hudud bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah masyarakat itu (jika nak dilaksanakan hudud). Hal ini kerana hudud hanya melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud.  Jadi, soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysia sehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud.

Apakah langkah yang perlu diambil supaya hudud dapat diterima seluruh masyarakat di negara ini?

MUSA AWANG: Pada pendapat saya, ini sebenarnya adalah tugas orang-orang dakwah atau pun pihak jabatan agama serta kerajaan. Pihak-pihak ini perlu memberi penjelasan lebih terperinci mengenai apa itu hudud dan bagaimana ia dilaksanakan.

Sebenarnya hukuman hudud itu ada tahapnya dan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Contohnya seperti berzina, secara umumnya, masyarakat hanya tahu hukuman bagi kesalahan itu adalah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin. Tapi sebenarnya, pembuktian zina itu terlalu ketat sebab kes-kes zaman Nabi pun yang pernah dihukum, semuanya berdasarkan pengakuan orang yang melakukan kesalahan dan bukannya berdasarkan keterangan saksi.

Maksudnya, mahu membuktikan zina itu perkara yang amat sukar sekali. Berkemungkinan pada zaman ini hukuman hudud untuk kesalahan berzina ini tidak akan berlaku kerana sukar untuk dibuktikan. Jadi jika perkara ini dijelaskan kepada masyarakat, mereka tidak akan risau dan menentang perlaksanaan hukum hudud ini.

sumber sinar harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...